Kabinet telah memutuskan bahawa program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan dihapuskan pada tahun 2012

Kabinet telah memutuskan bahawa program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan dihapuskan pada tahun 2012 nanti.

Walaupun program ini tidak dihapuskan serta merta, tetapi ianya cukup memberi indikasi tentang kejayaan rakyat yang menolak penggunaan bahasa asing itu diajar di dalam kedua-dua subjek teras di sekolah-sekolah.

Perarakan besar-besaran menentang dasar ini juga telah diadakan di ibukota pada 7 Mac 2009 lalu disertai oleh para ilmuan, pakar bahasa dan disokong oleh beberapa ahli politik serta ribuan rakyat lagi.

Kini, setelah kabinet mengambil keputusan untuk menghapuskan dasar ini, maka ramailah orang-orang berlagak sebagai cerdik pandai di dalam Umno untuk mengakui kelemahan sistem ini.

Malah, ramai yang mengaku bahawa dasar ini sebenarnya gagal dan lebih memberi kesan buruk terutamanya kepada pelajar-pelajar di luar bandar yang majoritinya adalah bumiputra.

Jika diperhatikan, Umno Johor melalui Ketua Perhubungan Umno negeri itu yang juga Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman yang secara terbuka tidak menerima dasar ini. Tetapi, penolakan Abdul Ghani lebih dilihat sebagai dia juga menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga dari Johor. Malah, Muhyiddin sendiri pernah mengadu bahawa dia pernah dihalang untuk mendapat pencalonan semasa merebut jawatan Naib Presiden Umno dari negerinya sendiri beberapa tahun dahulu.

Oleh itu, walaupun agak lewat, tetapi hari ini kita dapat melihat bagaimana ramai pemimpin Umno yang mengaku sebagai pejuang bangsa tetapi menyokong bahasa penjajah itu mula membuat pengakuan bahawa perlaksanaan dasar ini adalah satu kesilapan dan tanpa persiapan rapi.

Saya sendiri bukanlah anti kepada bahasa Inggeris, malah menyokong agar penguasaan bahasa tersebut ditingkatkan di kalangan pelajar sekolah. Tetapi bukanlah dengan cara mengorbankan subjek Sains dan Metematik pula. Ini kerana, bagi pelajar yang lemah di dalam bahasa Inggeris, maka kemungkinan besar mereka akan gagal menguasai kedua-dua subjek teras itu juga.

Sumber: http://lordazaab.wordpress.com/

 
Load Counter