Jangan herdik Presiden PAS, nanti kena maki

Alhamdulillah, ada ruang dan masa untuk saya menulis malam ini. Ada satu email yang mengharapkan agar saya tidak menulis menggunakan loghat Perak. Tajuk-tajuk yang berat atau perkara-perkara yang sesuai untuk semua pembaca hendaklah menggunakan Bahasa Melayu SPM. Terima kasih atas keprihatinan anda.

Saya menulis berdasarkan apa yang saya fikirkan. Saya akan mengulas dan menggarap sesuatu isu yang saya perolehi daripada pelbagai sumber. Sebahagian besar penulisan saya adalah bersumberkan suara hati dan luahan kedai kopi di kalangan rakyat marhaen. Saya adalah sebahagian daripada rakyat marhaen. Bagi saya, politik dan ceritanya adalah satu siasah. Sebagai peminat politik Malaysia, saya bebas membicarakannya.

Awal-awal lagi saya telah maklumkan bahawa saya adalah penyokong dan pengundi PR. Adakah menjadi satu kesalahan kepada PAS apabila saya memperlekehkan pandangan presidennya sendiri? Apakah presiden tidak boleh dikatakan kurang bijak? Dan presiden itu akan menjadi semakin kurang bijak jikalau masih terus menolak mentah-mentah akan pandangan negatif rakyat marhaen kepada kepimpinannya. Bagi saya, berbincang dengan UMNO atas kapasiti apapun pada waktu ini hanya akan menguntungkan UMNO. UMNO tetap licik.

Lebih baik PAS menambahkan keakrabannya dengan PKR dan DAP. Jangan dengki kepada rakan sendiri. Jadikan Perak sebagai iktibar. Sudah berbuih mulut MB Nizar menggesa ahli PAS supaya mewarwarkan bahawa MB Nizar adalah MB Rakyat bukannya MB PAS semasa MB Nizar menjadi MB Perak. Tetapi lidah rasmi PAS, Harakah tetap dengan egonya bahawa MB Perak adalah MB PAS.

Kekadang saya terfikir, apakah PAS takut kehilangan UMNO? Ketika UMNO sedang sakit, PAS sanggup merawatnya. Tidak sedarkah pimpinan PAS bahawa merawat UMNO adalah seumpama melepaskan anjing yang tersepit.

PAS akan menjadi rakan sekutu PR yang kuat selagi musuhnya UMNO masih bernyawa. Matlamat PAS terhadap UMNO tidak sama dengan matlamat PKR yang bertekad mahu menguburkan UMNO dalam PRU 13. PAS bimbang jikalau UMNO mati, PKR akan lebih kuat daripada PAS. Mungkin inilah kegelisahan PAS. Nawaitu asal PAS yang berjuang untuk agama dan rakyat telah dikesampingkan kerana kilauan pangkat dan harta semakin hampir.

Di Perak, ahli PAS bawahan terus menyalahkan ADUN PKR yang melompat. Betul dan betul. PKR dipersalahkan kerana gagal mengawal ADUNnya. Tetapi sedarkah ahli PAS semasa ‘MB PAS’ berkuasa, bilangan ahli PKR yang mendapat tempat di peringkat negeri atau kampung boleh dibilang dengan jari. Dan sekarang dalam organisasi PR Perak yang longgar, kita mendesak supaya PRU Perak diadakan. Hati kecil saya berbisik, sebenarnya PR Perak belum bersedia untuk PRU Perak. Nasib baik UMNOpun tidak yakin untuk menang jikalau DUN Perak dibubarkan.

Pesan saya, jangan hilangkan respek pengundi kepada PR. Dalam politik kepartian, kita sama sahaja. Undi yang kita pangkah di kertas undi, nilainya tetap satu. Oleh itu kita harus terima apa juga pendapat walaupun pendapat itu menyinggung hati dan perasaan kita. Undi presiden di kertas undi nilainya adalah satu. Undi saya dikertas undi juga dikira satu.

Terima kasih kepada mereka yang telah memaki dan menghamun saya.

Sumber: http://jantantuya.blogspot.com/

 
Load Counter