Tepuk Dada Tanya Iman...

Tepuk dada tanya iman dan kebenaran, itulah ungkapan paling tepat buat pengundi Dun Manek Urai yang akan menghadapi pilihan kecil (PRK) 14 Julai ini. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo’lo’ Mohd Ghazali, berkata PRK Dun Manek Urai bukan sekadar penentuan wakil rakyat baru tetapi isyarat rakyat secara berterusan menolak kepimpinan Umno.“Di samping itu kemenangan itu membayangkan satu cetusan kemenangan lebih besar dalam pilihan raya ke 13 nanti meskipun pelbagai janji dan perubahan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Dr Lo’lo’ menasihati seluruh pengundi tidak mudah terpengaruh dengan janji serta pujuk rayu Umno yang hanya bersifat sementara bagi menambat hati pengundi melalui kempennya.Beliau turut mengingatkan rakyat tidak memandang remeh dalam soal pemilihan calon kerana ia adalah amanah bakal dipersoalkan di dunia dan akhirat kelak.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umumnya bersama dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar di rumah penghulu kampung Temalir, Che Harun Che Ngah, dekat sini.

Pada majlis yang sama beliau turut membidas kenyataan hipokrit Umno-BN yang memperjuangkan Melayu Islam.Katanya Umno tidak ikhlas memperjuangkan Melayu dan Islam apabila sanggup bertindak membunuh bahasa Melayu Jawi dan penulisan Jawi oleh menteri pelajaran suatu ketika dulu. “Bahasa Melayu Jawi telah dibunuh oleh Umno berpuluh tahun lalu. Semua kita tahu bagaimana tulisan jawi dan pembelajaran bahasa jawi dihapuskan menteri pelajaran ketika itu Khir Johari,” jelasnya.

Tidak cukup dengan tindakan itu kerajaan BN terus mengulangi dasar pemusnahan lampau dengan mewujudkan sistem Pendidikan dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.Selepas dibantah secara besar-besaran oleh rakyat baru kerajaan mahu membatalkannya tetapi itupun selepas tahun 2012 nanti iaitu menjelang pilihan raya ke - 13.

Katanya, BN tidak prihatin dengan aspirasi rakyat biarpun hampir seluruh pakar-pakar bahasa Melayu dan segelintir pemimpin negara tidak bersetuju dengan dasar tersebut.Lo’lo’ berkata, walaupun tindakan itu tidak nampak kesannya pada jangka waktu terdekat namun apa yang pasti generasi akan datang terasing dengan sejarah kegemilangan bahasa Melayu tanah air sendiri.

Ketika mengulas kenyataan BN yang memperjuangkan Islam beliau tidak nampak realiti itu seiring bersama pentadbiran kerajaan BN.“Kalau nak kata pejuang Islam, tapi geran sekolah agama rakyat di tarik. Rakyat kelantan mesti tidak lupa sekolah agama tidak mendapat perhatian kerajaan pusat secara konsisten walaupun terpaksa beroperasi dengan keadaan tenat,” katanya.Beliau turut mendedahkan kejanggalan kerajaan BN di atas kegagalannya menangani dari sudut perundangan mengenai isu hampir 2,000 hotel bertaraf lima bintang beroperasi tanpa membuat permohonan sijil halal./ Malaysia Insider

 
Load Counter