Tak perlu percaya Raja Petra bulat-bulat.. tapi Percayalah cakap Najib..

Najib kata “Kalau Raja Petra ditaja pembangkang, bererti apa yang didakwa adalah berbaur politik...jadi kita mesti mengkajinya dan jangan terima bulat-bulat apa yang didakwa menerusi blognya,”

Itu kalau Raja Petra ditaja pembangkang.. kalau Raja Petra tidak ditaja pembangkang pula bagaimana?

Kalau Pembangkang yang dimaksudkan Najib itu mampu menaja kehidupan seharian Raja Petra di London, rasanya tak perlulah PAS atau PKR mengutip derma dalam setiap ceramah yang mereka adakan..

Tak perlulah DAP atau PKR menjual meja untuk makan malam semata-mata mahu mengumpul dana bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang ni..

Lagi satu PKR pun tak perlulah memotong elaun Ahli-Ahli Parlimennya untuk menyara atau membiayai perbelanjaan Ibu Pejabat PKR tu..

Lepas Pakatan Rakyat dituduh membiayai Raja Petra pasti akan kedengaran pula Pakatan Rakyat juga membiayai Bala..


Sumber: http://darisungaiderhaka.blogspot.com/

PM: Tak perlu percaya Raja Petra bulat-bulat

PEKAN, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Raja Petra Kamaruddin yang kini melarikan diri ke London.

Perdana Menteri berkata rakyat juga kini tidak perlu lagi menerima bulat-bulat apa saja dakwaan yang dibuat pengendali blog berkenaan.

“Kalau Raja Petra ditaja pembangkang, bererti apa yang didakwa adalah berbaur politik...jadi kita mesti mengkajinya dan jangan terima bulat-bulat apa yang didakwa menerusi blognya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam, bahawa kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra dibiayai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Najib (gambar) yang juga Ketua Bahagian Pekan berkata rakyat tidak perlu percaya bulat-bulat terhadap pelbagai tuduhan yang dibuat Raja Petra dalam laman blognya, Malaysia Today yang dikatakan mendapat pembiayaan PKR.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu mengkaji setiap dakwaan berbaur politik yang ditulis Raja Petra itu.

Semalam, Nazri berkata bukti yang menunjukkan parti pembangkang itu membiayai pengendali blog itu sedang disiasat.

“Memang betul, saya ada bukti, duit dihantar kepada Raja Petra. Saya ada bukti tunjuk hantar RM500,000, dia (Raja Petra) terima RM470,000 RM30,000 lagi habis ke mana saya tak tahu,” kata Nazri.

Mengulas mengenai pelantikan dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, Perdana Menteri berkata ia membuktikan bahawa kedudukan wanita di negara ini sama taraf dengan kaum lelaki.

“Malah dalam Islam pun tidak menyekat kemaraan dan kedudukan serta status wanita dalam Islam sentiasa terpelihara,” katanya.

Buat julung kalinya negara mempunyai hakim syarie wanita selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melantik mereka Mei lepas, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Bernama

 
Load Counter