HIDUPKAN MARKAZ PR UNTUK SEBAR MAKLUMAT

Oleh: Lebai Moden

Kerajaan Najib sentiasa sedaya upaya menghalang maklumat yang sahih sampai kepada rakyat. Maklumat yang tepat, membolehkan rakyat membuat keputusan yang tepat dalam pilihanraya. Maka, tidak pelik jika Najib menghalang Suara KeAdilan dan The Rocket daripada diterbitkan. Permit yang luput hanyalah alas an, samalah seperti mana mereka mahu menaikkan harga barangan, maka pelarasan subsidi hanyalah alas an.

Jika mahu berjaya, maka PR perlu lebih sentiasa di hadapan BN. Jika dilihat dalam konteks strategi – masa ini – umumnya BN dilihat lebih ke depan. Mereka menguasai banyak perkara yang boleh memenangkan mereka dalam pilihanraya. Tak pedulilah, ia beretika atau tidak, adil atau tidak, perkiraannya mereka boleh menang dalam pilihanraya. Di Malaysia, menang pilihanraya walau hanya satu kerusi, adalah jalan untuk memerintah. BN sedar dan sentiasa berusaha mengekalkan kemenangan ini.

Saya mahu menyatakan, antara strategi BN ialah menyalurkan maklumat yang salah kepada rakyat Malaysia. Misalnya, barang naik dikatakan pelarasan subsidi. Apa maksud pelarasan, apa pula maksud naik harga? Kedua-duanya jauh berbeza; tetapi berapa juta rakyat Malaysia khususnya golongan yang tidak terdedah kepada info alternative, akan dipaksa menelan bulat-bulat maklumat salah BN ini.

Samalah seperti mana berjayanya BN menanamkan kefahaman bahawa hanya Malaysia inilah sahaja Negara yang unik dengan kemajmukan rakyatnya. Malaysia inilah Negara yang aman makmur dan selamat sejahtera. Malaysia inilah Negara paling membangun dan tidak lupa, paling murah harga-harga barangannya.

Jika kita berbual dengan rakyat Malaysia yang sudah termakan ‘hasutan’ BN ini, maka mereka begitu taksub dengan Malaysia. Mereka akan berkata, betapa bertuahnya lahir dan membesar di Malaysia. Mereka akan menyebut-nyebut segala macam ‘kelebihan’ di Malaysia.

Mereka ini sebenarnya telah dibutakan oleh BN. Kerana, berapa banyak Negara lain yang lebih majmuk, US sendiri sebenarnya Negara majmuk. Jika dikatakan Negara ini aman, Arab Saudi lebih aman dengan rendahnya kadar jenayah berbanding Negara-negara lain di dunia. Jika lebih makmur, Singapura lebih makmur dari Malaysia walau Singapura tiada sumber alam. Jika kata negara ini membangun dengan pesat, Korea Selatan jauh lebih pesat. Jika dikatakan Malaysia ini paling murah harga barangannya, maka kenapa tidak kita bandingkan sahaja dengan Laos dan Kemboja. Ia subjektif – berdasarkan pendapatan rakyat mereka yang sebenar dan tak adillah Malaysia membandingkannya semberono sahaja!

Namun, rakyat Malaysia yang sudah dibius ‘kehebatan’ Malaysia ini akan memekakkan telinga dan membutakan mata, walaupun andai kita menyatakan Negara ini jugalah Negara yang rancak membiakkan segala jenayah – dadah, rogol, rompak bersenjata, pembunuhan, penculikan, rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, pemerdagangan orang dan segala-galanya. Semua ini diusahakan oleh BN agar tidak ketara, rakyat sedar ada rasuah…tapi, alah…sikit-sikit tak apa ma….! Inilah hebatnya penyampaian maklumat yang salah oleh BN yang boleh sahaja disebutkan propaganda!

Maka, majoriti rakyat Malaysia khususnya mereka yang tidak terdedah kepada info alternatif akan kekal dalam kejahilan tersebut. Jika mahu menerobos kejahilan, maka perlulah suatu strategi. Strategi yang terbaik yang tidak pula memakan belanja yang besar; tetapi memberikan impak yang besar dan hebat. Inilah yang perlu dimenangi oleh PR.

Apakah strategi itu? Tidak lain tidak bukan, maklumat yang betul mesti sampai kepada rakyat jelata. Maka, bagaimana caranya? Akhbar sudah digam, Harakah pun sudah diamarankan…

PR mempunyai pejabat atau markaz cawangan di seluruh negara. Apa gunanya semua kemudahan ini? Takkanlah hanya untuk mesyuarat cawangan dan dihidupkan selama musim pilihan raya sahaja? Gunakanlah semua kemudahan ini, sebagai tempat masyarakat setempat mendapat maklumat kedua selepas maklumat salah daripada BN.

Markaz PAS misalnya, boleh diletakkan sebuah papan kenyataan besar dan up-date maklumat selalu. Tak payah panjang berjela, ambil mana yang penting. Jika rakyat nak tahu lanjut, maka mereka kena beli Harakah.

Sebenarnya, dengan cara ini akan menghidupkan markaz, membolehkan akhbar parti dijual dan membuka peluang keahlian secara terus. Mungkin pada tahap awal, buat dulu pilot project kat mana-mana, kemudian pantau, lihat kelemahan yang ada dan perbaikilah dari semasa ke semasa.

Yakinlah, jika akhirnya seluruh markaz PR dihidupkan, maka maklumat akan mengalir laju kepada rakyat. Semua ini memerlukan masa, tetapi jika kita sudah memulakannya dari sekarang, menjelang PRU13 akan dating…ya, baharulah kita rasai nikmatnya.

Sumber: http://ureka.asia/

 
Load Counter