KENAPA PERLU BANGUNAN PARLIMEN BARU?

Bangunan Parlimen Malaysia adalah tempat untuk ahli-ahli Dewan Rakyat bersidang, berbahas di samping menggubalkan undang-undang negara kita.

Saya tidak faham kenapa isu dan cadangan untuk memindahkan serta membina Bangunan Parlimen baru berterusan diberi perhatian?

Bermula dengan cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Aziz agar bangunan baru untuk Parlimen dibina di Putrajaya dan didalam masa yang sama pula dibaik pulih untuk dijadikan sebagai galeri sejarah.

Isu ini terus diberi perhatian serius apabila Kementerian Kerjaraya melalui Menterinya Dato Shaziman Mansor turut mengulas akan cadangan pembinaan Bangunan Parlimen yang baru dan berhasrat untuk di kemukakan kepada Kabinet dalam tempoh dua bulan daripada sekarang tentang beberapa cadangan yang difikirkan sesuai.

Kita tidak faham, kenapa negara kita tidak boleh meniru langkah sebagaimana Negara lain yang begitu menyanjung tinggi Bangunan Parlimennya walaupun telah berusia melebih beratus tahun sebagaimana di United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Jepun dan sebagainya.

Dinegara lain, bangunan Parlimen adalah tempat yang mulia untuk dipertahankan sesuai dengan nilai sejarah dan nostalgianya. Lihatlah di UK atau AS sebagai contohnya, bangunan Parlimen mereka sudah berusia begitu lama dan sentiasa di baik pulih serta di jaga dengan rapi.

Bagi kerajaan negara mereka, tiada yang lebih membanggakan selain daripada terus mengekalkan nilai sejarah ini. Menjadi ahli Dewan di kedua negara tersebut sudah pasti membanggakan mereka yang dipilih. Ini kerana nama mereka turut terpahat sama dikalangan mereka yang pernah suatu ketika dahulu yang turut berada di situ walaupun berlainan zaman tetapi tempatnya adalah sama!

Tetapi tidak di Malaysia kerana lebih mementingkan keselesaan kononnya. Hakikatnya untuk apa bangunan baru Parlimen perlu dibina? Sebagaimana menurut Shaziman lagi kos untuk membaik pulih hanyalah sekitar RM 150 Juta, manakala kos untuk membina yang baru mungkin mencecah melebihi RM 600 Juta?

Ada dua persoalan disini, pertamanya kenapa kos membaik pulih memerlukan RM 150 Juta? Bukankah 10 tahun dahulu, bangunan ini sudah di baik pulih serta di ubah suai? Dimana tanggung jawab pihak yang berwajib untuk menyelenggara bangunan ini secara berterusan pada setiap bulan?

Saya yakin sekiranya penyelenggaraan secara sistematik dan konsisten sebagaimana yang diamalkan kepada mana-mana bangunan, kos untuk membaik pulih keseluruhan bangunan ini pasti tidak akan mencecah sehingga RM 150 Juta!

Keduanya, kos pembinaan baru melebihi RM 600 Juta? Kalau kita sudah mengetahui kos pembinaan barunya sebegitu rupa tinggi, kenapa tidak didiamkan sahaja hasrat ini? Atau pun masih berkeras untuk membina bangunan baru demi kepentingan pihak-pihak tertentu didalam mendapatkan kontrak ini?

Justeru itu, bagi saya elok dibatalkan saja niat tersebut samada untuk memindahkan atau pun membina bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya. Kita seharusnya mempertahankan bangunan yang sedia ada demi warisan dan nilai sejarah yang penuh dengan nostalgia didalam pembentukan awal negara kita yang merdeka ini dahulu.

Sumber: http://ingeniur.blogspot.com/

 
Load Counter