Jika Sarjan Pun Selicik Itu, Apa Lagi Menterinya!!!

Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi menyatakan tiada pegawai kanan terlibat dalam kejadian kehilangan dua buah enjin pesawat tempur F-5E milik TUDM). Sebaliknya beliau menjelaskan, hanya Pegawai Lain-Lain Pangkat (LLP) yang didapati terlibat.

"Setakat ini yang kita tahu hanya Pegawai LLP terlibat, maknanya pangkat sarjan ke bawah, dalam siasatan tidak ada pegawai kanan yang terlibat", katanya seperti yang dilaporkan oleh mStar.

Bolehkah kita percaya apa yang Zahid katakan itu? Bagi mereka yang pernah berkhidmat dengan kerajaan, apa lagi pernah berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan, mereka akan tahu betapa sukarnya untuk membawa peralatan keselamatan keluar dari negara ini, kerana ia perlu melalui prosedur yang amat ketat dan rapi. Hendak membawa sebatang skru yang tersilap hantar untuk dikembalikan ke syarikat asalpun, bukan main sukar, apa lagi untuk membawa engin yang bernilai RM50 juta!

Jika ia kerja anggota berpangkat Sarjan dan ke bawah yang begitu cekap menembusi sistem keselamatan negara, maka saya angkat topi kepada mereka. Saya angkat topi bukan kerana hendak puji kejayaan mereka membuat kerja jijik, tapi angkat topi kerana kecekapan mereka membuat kerja-kerja yang mungkin memerlukan pelbagai penyamaran untuk membawa peralatan negara sejauh itu.

Tapi satu hal lagi yang saya fikirkan ialah jika sarjan di Kementerian Pertahanan pun begitu licik dan bijak menipu, apa hal lagi dengan mereka yang berpangkat lebih tinggi, berpangkat Pegawai seperti leftenan, major, leftenan kolonel, brigadier jeneral, major jeneral dan jeneral? Dan jika sarjanpun sudah sejahat itu, betapa lagi Jeneral dan Menteri Pertahanannya?


~ pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter