Kehadiran begitu ramai polis tak mampu sekat kemenangan PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

Jumlah besar anggota polis ditempatkan di semua pusat pengundian, antara penglihatan luar biasa pada proses pembuangan undi Pilihan Raya Kecil N.11 Dun Permatang Pasir. Penempatan anggota polis dengan jumlah besar sedemikian tidak berlaku pada pilihan raya kecil sebelum-sebelum ini.

Bahkan, di samping jumlah besar mengawal 'ketat' pintu-pintu utama ke pusat pembuangan undi dan 'mengekang' para penyokong dari kedua-dua parti, masih kedapatan anggota yang berehat, kemungkinan menunggu giliran bertugas.

Selain itu, turut kelihatan anggota-anggota polis trafik ditempatkan di luar Dun Permatang Pasir mengawal laluan kenderaan menuju ke Dun tersebut.

Keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi pergerakan para penyokong dari kedua-dua parti selain peraturan-peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membataskan.

Tambahan, keadaan lokasi yang agak sempit di semua pusat pengundian kecuali di Sekolah Kebangsaan Penanti di mana kemeriahan 'raya' di situ juga dikawal oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Namun dalam suasana 'terhad' itu, laungan semangat tetap menjadi modal kekitaan para penyokong dengan jumlah hampir sama banyak antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun, menjelang petang, jumlah-jumlah penyokong khususnya BN dilihat mulai menyusut dan yang ada lebih kepada bersantai-santai sahaja.

Malah, tidak sedikit dilihat penyokong dari kedua-dua parti saling mesra dan berbual antara satu sama lain.

Sementara kelihatan masih teguh di hampir semua pusat pengundian, para Muslimat PAS terus meraih sokongan orang ramai yang lalu lalang.

Di lokasi lain iaitu di Taman Penanti yang menempatkan Rumah Johor, kelihatan para Pemuda Umno berkumpul dengan jumlah dianggar melebihi 500 ahli tanpa berbuat sebarang tugasan melainkan terpinga-pinga dan memerhatikan kenderaan lalu lalang.

Barangkali sedang menunggu 'operasi khas' menghingar bingarkan Dun Permatang Pasir dengan deruman motosikal mereka kononnya menunjuk-nunjuk kekuatan.

Sementara di Bukit Merah pula kelihatan pelbagai risalah yang memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dan pimpinannya bertaburan di tepi-tepi jalan tetapi tidak diendahkan kenderaan lalu lalang. Manakala di beberapa kampung, kelihatan anggota Pemuda dan Puteri Umno mengawal laluan masuk.

Secara keseluruhannya, kehadiran ramai para penyokong dari kedua-dua parti tetap memeriahkan proses di hari pengundian walaupun dikekang dengan anggota polis bertugas dan peraturan SPR selain turut dibantu suasana mendung sepanjang hari tersebut.

Ketika jam baru menunjukkan pulul 6.30 petang, di Markaz Besar Permatang Pasir, PAS sudah pun mengumumkan himpunan meraikan kemenangan walaupun keputusan rasmi belum diperolehi.

Sumber: http://www.detikdaily.net/v5/

 
Load Counter