Dia sebenarnya hebat!

Aku dah kata dan aku dah saksikan sendiri. Dia memang hebat. Zunar adalah satu-satunya kartunis yang berani dan kritis. Seperti kata seorang penganalisis, tiada kartunis politik Malaysia seperti Zunar. Aku meminati Zunar sejak sekolah lagi dalam majalah Gila-Gila. Siapa yang tak kenal watak Sifar, Kaduk dan Liza, Gebang-gebang, Papa dan Kedana juga Ofis Korner. Sejak dulu lagi kartunnya pedas dan lantang.
Aku selalu lihatnya di Creative Enterprise pejabat Gila-Gila pada 1990-1991 waktu aku berguru dengan Rejabhad (Allahyarham) dulu tapi tidak berani menegurnya yang berwajah serius sentiasa itu. Namanya mendadak naik semula sewaktu era reformasi dengan karya2 'hidung besar'nya. Aku semakin kagum sewaktu melihat dalam Harakah gambarnya, Hishamuddin Rais dan beberapa kawan lagi mengangkat tangan dengan pakaian lokap kerana menyertai demonstrasi.
Sewaktu perhimpunan bantah kenaikan tol di Gombak 2006, aku berkenalan dengan Zunar(isteri aku yang tegur dan mengatakan padanya yang aku juga kartunis). Dia mempelawa aku melukis di Suara Keadilan dan seterusnya itulah yang berlaku.

Pegawai KDN gugup bila Zunar berang dan meminta penjelasan dengan betul apabila mereka mendakwa kami menaruh nombor permit palsu di cover majalah. Akibatnya pegawai bertopeng itu menarik balik kata-katanya

"Why pinch when you can punch?" kata-kata Zunar membakar semangat. Bersama Jonos, anak muda kartunis yang bersopan santun mereka merancang sesuatu yang lebih besar untuk menyediakan platform bagi kartunis menyatakan pendirian dalam sesuatu isu kerana tidak mahu melihat kartunis Malaysia hanya bikin orang ketawa kosong saja. Aku dipanggil dan berlangsunglah pertemuan demi pertemuan dengan beberapa kartunis lain.
Masa bagai menyebelahi kami. Zunar keluar dari menjadi editor Suara Keadilan setelah ia 'dirompak' oleh puak-puak elit dalam PKR dan mengajak kami bersama saki-baki staf SK yang setia seperti Naza dan Syafiqsunny untuk meneruskan majalah ini. Berpindah-randahlah kami dari satu ofis ke satu ofis mencari markas dan akhirnya pulang semula ke Brickfields. Dengan Jasmine menguruskan pentadbiran, semuanya berjalan lancar sehinggalah satu demi satu dugaan melanda. Azzam turun naik KDN melayan birokrasi. Naza Grafik jatuh sakit dan memerlukan pembedahan kecil dan kemudian agak terganggu fikiran pula apabila adiknya meninggal dunia kemalangan. Jonos, aku, Azzam, Maisuri, Ira, Israq kemudian bergilir-gilir sakit. Gedung Kartun lahir sepatutnya lebih baik dari ini tetapi kami terpaksa juga walaupun dalam keadaan sakit.
Lihatlah apabila semua ini terjadi. Sekejap saja facebook dan panggilan telefon, emel bertalu-talu menyatakan sokongan padanya. Aku salute Zunar dan orang-orang yang tak melihatnya harus melihat wira ini. Dia living legend!

Sumber: http://wargamarhaen.blogspot.com/

 
Load Counter