Selamat Tidur SPRM!!

RM24 juta atau RM3.5 juta? Itulah persoalan tentang nilai mahligai Khir Toyo yang sedang hangat dibincangkan sekarang.

ADUN Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran kos pembinaan mahligai di kawasan seluas 50,000 kaki persegi atau 0.5 hektar itu ialah RM20 juta, manakala tanahnya dibeli dengan harga RM3.8 juta (hampir RM4 juta).

Tapi Khir Toyo menafikan harga mahligainya RM24 juta. "Saya membeli rumah itu dengan harga RM3.5 juta menggunakan pinjaman yang diperoleh daripada HSBC. Saya tidak membeli tanah dan membina rumah di atasnya," kata beliau.


Ng pula mempunyai bukti kukuh berbekalkan dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor. Ng menunjukkan bahawa Khir dan isterinya Zahrah Kechik membeli secara bersama tanah tersebut dari Ditamas Sdn Bhd pada 2007. Pengarah Ditamas yang dikenali sebagai Shamsuddin Hayroni ialah kawan rapat Khir.

Ng berkata, pakar industri pembinaan menganggarkan kos pembinaan dan kelengkapan mahligai tersebut ialah kira-kira RM20 juta. Pintu gerbang sahaja berharga kira-kira RM290,000.

Ng mendakwa, pendapatan seorang Menteri Besar sebanyak RM576,000 setahun tidak mungkin dapat mengumpulkan wang yang cukup untuk membayar kosnya sebanyak RM24 juta itu.

Bagi saya, kedua-dua kenyataan Khir Toyo dan Ng itu mungkin benar:

i) Mungkin benar nilai tanah dan mahligai itu ialah RM24 juta, iaitu berdasarkan harga pasaran semasa Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Maknanya jika saya, anda atau sesiapa saja yang setaraf dengan kita hendak membeli mahligai itu perlulah sediakan wang sebanyak RM24 juta, yang mati hidup balik 100 kali pun mungkin sukar untuk mendapatkan wang sebanyak itu.

ii) Mungkin benar juga Khir membeli mahligai itu dan tanahnya dengan harga RM3.5 juta sahaja. Tapi perlu ingat harga RM3.5 juta itu adalah berdasarkan harga jualan oleh Ditamas Sdn Bhd yang pengarahnya ialah rakan Khir bernama Shamsuddin Hayroni. Jadi RM3.5 juta itu ialah harga jualan oleh rakan Khir. Mengapa kita bising-bising dan terkejut, ikut suka dia lah hendak letakkan harga RM3.5 juta atau atau berapa harga pun!! Malah jika kawan Khir hendak letakkan harga RM3.5 juta, dalam perjanjian jual beli, tapi cuma perlu bayar RM0 juta pun, ikut suka dialah! Ia seperti juga mak bapa kita yang boleh beri tanah dan rumah secara percuma atau token RM100 kepada anaknya untuk hartanah yang sebenarnya bernilai RM100,000, apa yang hendak dihairankan? Jika mak bapa kita sanggup beri tanah dan rumah percuma untuk pelaburan akhirat, apa pula nak hairan jika Shamsuddin jual rumah dan tanah dengan harga RM3.5 juta, malah jika percuma pun untuk pelaburan masa depan syarikatnya?

Jadi apa nak dihairankan?
Selamat tidur SPRM!!!

~ pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter