Osman merungut, DUN kurang projek...???

ADUN bebas, Mohamad Osman Jailu pernah merungut bahawa beliau memerlukan projek pembangunan untuk pengundi di kawasannya, kata Setiausaha Umno Bukit Gantang, Mohamad Jamiel Idris.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum mendengar desas-desus bahawa Mohamad Osman mahu kembali semula ke pangkuan PKR.

Osman JailuMohamad Jamiel berkata, Mohamad Osman pernah memberitahunya yang beliau mahu projek-projek pembangunan dilaksanakan di kawasan pilihanrayanya untuk kemudahan pengundi di situ.

Katanya, Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN - Changkat Jering (Bebas/Osman), Trong (Umno) dan Kuala Sapetang (PKR).

Mohamad Jamiel berkata, selama ini, Umno bahagian memberi layanan sama rata kepada ketiga-tiga DUN berkenaan, termasuk DUN Sapetang yang diwakili PKR, kerana kawasan tersebut juga mempunyai ramai ahli dan penyokong Umno.

Projek pembangunan di DUN berkenaan dibiayai melalui peruntukan untuk ketua Umno bahagian, Datuk Rosli Husin.

Sementara itu, Rosli pula ketika dihubungi berkata, beliau juga tidak mendengar desas-desus mengenai Mohamad Osman mahu kembali ke PKR.

Setakat pengetahuannya, kata beliau, Mohamad Osman berpuashati dengan layanan Umno terhadapnya.

Khabar angin

"Semua ok. Dia datang mesyuarat jawatankuasa tanah di pejabat tanah Bukit Gantang awal bulan lalu.

"Saya tidak dengar dia tidak puas hati dengan kita, tetapi selepas itu saya tidak jumpa lagi dengannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rosli berkata, beliau sendiri pernah meminta Mohamad Osman menyertai Umno tetapi beliau belum berminat berbuat demikian.

Sementara itu, ketua penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim ketika dihubungi Malaysiakini berkata, penyertaan semula Mohamad Osman ke PKR belum dapat disahkan.

Katanya, ketika ini ia boleh bersifat khabar angin semata-mata.

Bagaimanapun, menurutnya, minggu lalu ADUN Changkat Jering itu secara kebetulan ada bertemu dengan beberapa AJK PKR bahagian Bukit Gantang di pekan itu.

"Ketika kami tanya kedudukannya sekarang, Mohamad Osman mempertahankan tindakannya keluar PKR dan menjadi ADUN bebas.

"Jika benar beliau mahu kembali ke pangkuan PKR, kita serahkan perkara itu kepada PKR Pusat untuk membuat keputusan," katanya.

Setakat ini, Malaysiakini belum dapat menghubungi Mohamad Osman bagi mendapatkan penjelasannya mengenai perkara itu.

Sumber: http://wargamarhaen.blogspot.com/

 
Load Counter