PAS UMNO : Isu Kerajaan Perpaduan Dibawa Ke Muktamar

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mencadangkan isu kerajaan perpaduan yang disaran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibincangkan dalam muktamar parti Jun ini untuk dinilai semula.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, berikutan terlalu banyak salah faham yang timbul ekoran cadangan itu, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menerusi muktamar.

"Seeloknya kita bincang perkara ini dalam muktamar. Sama ada hendak bincang dalam muktamar terdekat atau mahu diadakan muktamar khas, itu terpulang kepada ahli parti," katanya yang bersedia untuk dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden pada muktamar itu.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu, Abdul Hadi menyarankan supaya diadakan perbincangan dengan UMNO ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan bertujuan untuk membela kepentingan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun timbul polemik apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Beberapa hari lalu, anak Nik Abdul Aziz, Nik Mohd Abduh yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan dalam laman blognya mengatakan, penentangan ayahnya terhadap cadangan itu adalah disebabkan oleh maklumat salah diberikan oleh pembantu-pembantu Menteri Besar Kelantan itu yang menjurus kepada kepentingan mereka sendiri.

Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan baru-baru ini, meletakkan syarat supaya jawatan-jawatan strategik dalam Kerajaan Persekutuan seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran diberikan kepada pemimpin parti itu yang menurut beliau lebih memudahkan pihaknya melaksanakan dasar-dasar Islam.

Azizan bagaimanapun berkata: "Ramai yang salah faham tentang isu ini. Mereka anggap Pas dan UMNO akan bersatu dalam satu parti dan membentuk kerajaan.

”Itu bukan keraaan perpaduan yang dimaksudkan (oleh Abdul Hadi).”

Katanya, apa yang diamalkan dalam parti Pas ialah apa jua isu akan dibincangkan dalam muktamar hanya akan diterima pakai setelah semua ahli menyatakan persetujuan dengan cadangan yang diusulkan.

“Selepas semua setuju, baru boleh laksanakan. Bukan hanya berpandukan kepada kenyataan Presiden semata-mata atau kenyataan yang keluar seseorang pemimpin tertentu sahaja,” katanya.

http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter