Penyenaraian FGVH Rugikan Peneroka


SHAH ALAM, 28 MAC : Penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia didakwa akan menyebabkan Felda mengalami defisit pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang akan merugikan generasi kedua Felda untuk jangka masa panjang.

Situasi ini menyebabkan Felda hanya akan memperolehi pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehingga RM508 juta, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan Dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli.

“Dengan pendapatan hanya sekitar RM750 juta setahun berbanding kos operasi mencecah RM2 bilion adalah dikhuatiri Felda akan gagal beroperasi dengan stabil.

“Apabila Felda menjadi agensi yang rugi maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung akibatnya,” kata Naquib yang juga mewakili Angkatan Muda Keadilan Selangor dalam sidang media di Pejabat MP Shah Alam, Khalid Samad di sini.

Prorakyat berpendirian akan menentang sebarang usaha untuk menyenaraikan FGVH ke Bursa Saham Malaysia dan akan bersama seluruh rakyat Malaysia dan warga Felda untuk berhimpun dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri pada Jumaat, 30 Mac ini jam 3 petang.

“Hasrat Felda untuk memajak 350 ribu hektar tanahnya selama 99 tahun kepada FGVH bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956 kerana FGVH tiada hak ke atas tanah peneroka itu,” dakwa beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Warga Felda Prihatin, Mohd Kamil Yasin berkata, penyenaraian FGVH ini akan merugikan generasi kedua Felda sepertimana yang berlaku dalam penjualan tanah di Felda Sendayan yang nasib mereka kini semakin terhimpit.

Beliau turut mempersoal kerana saham yang diberi itu nanti tidak boleh ditunaikan.

“Kalau hendak dikatakan orang Felda ini mempunyai saham yang tinggi ia sudah banyak kali diperkatakan,kita mahu perkara ini dengan telus,” katanya.

Sementara itu ,Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said berkata, penyerahan memorandum di Pejabat Perdana Menteri akan diiringi dengan kain putih ditandatangi warga Felda dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

Sumber: http://www.selangorku.com/

 
Load Counter