Memorandum Bantahan Pembalakan di Gunung Lang, Kampung Kuak Hulu Pengkalan Hulu

Pendahuluan
Kami seluruh warga penduduk kampung Kuak Hulu dengan sebulat suara membantah sebarang aktiviti pembalakan di kampung kami. Berikut merupakan sebab-sebab bantahan aktiviti pembalakan di kampung kami :

1. Punca air Pengkalan Hulu

- 95% penduduk kampung Kuak Hulu menggunakan air asli ( air bukit ) sebagai minuman dan kegunaan seharian.Hanya kawasan ini yang membekalkan sumber air asli bagi masyarakat Pengkalan Hulu. Kawasan tadahan air sedia ada seluas 1000 ekar adalah kawasan batu-batan.

- Sunber air asli di sini berasal dari 6 punca, iaitu Lata 7 Beradik, Air Sungkai, Air Sumpit Beras Tinggi, Air Sumpit Beras Rendah, Air Ibu, dan Air Teluk Tok Pang. Kesemua punca air tersebut terlibat di dalam kawasan pengambilan balak di kampung Kuak Hulu.

- Aktiviti pembalakan di hutan simpan Gunung Lang telah menyebabkan sumber air asli utama penduduk kampung Kuak Hulu telah tercemar. Air sungai di sini menjadi keruh, terutama berlakunya hujan lebat.

2. Kemusnahan flora dan fauna

- Hutan simpan Gunung Lang di kampung Kuak Hulu amat kaya dengan hasil flora dan fauna yang semula jadi.

- Aktiviti pembalakan di hutan simpan Gunung Lang di kampung Kuak Hulu telah memusnahkan habitat asal kehidupan di sini. Kemusnahan habitat telah menyebabkan banyak binatang melarikan diri dan mati kelaparan. Kemusnahah flora ( tumbuhan-tumbuhan hijau ) yang menjadi sumber makanan utama bagi binatang di sini telah memburukkan lagi keadaan.

- Pada tahun 2007, sebahagian tanaman pertanian penduduk kampung berhampiran kawasan pembalakan ini telah dimusnahkan oleh sekumpulan gajah liar. Jika aktiviti pembalakan ini diteruskan oleh pemaju, kumpulan gajah ini akan dikhuatiri memasuki kampung kerana tumbuhan-tumbuhan di kawasan ini habus musnah akibat pembalakan.

3. Hakisan tanah

- Aktiviti pembalakan secara berleluasa tanpa kawalan di hutan simpan Gunung Lang akan menyebabkan berlakunya bencana alam seperti hakisan tanah di tebing-tebing bukit dan sungai yang berhampiran dengan rumah penduduk kampung.

- Aktiviti pembalakan telah menyebabkan air hujan yang turun dari bukit tidak dapat diserap oleh akar-akar pokok yang bertindak sebagai spam ke dalam bumi. Kesannya, tanah di kawasan bibir tebing dan sungai menjadi lembab dan lembik, dan seterusnya membawa kepada hakisan tanah apabila hujan melanda.

- Pada tahun 2004, pengeluaran kayu balak telah berlaku di sini ( Kuak Hulu ), yang membawa kesan sangat buruk kepada kampung. Apabila hujan lebat, berlaku hakisan tanah, curam yang dalam pada jalan-jalan, tanah runtuh, aliran air sungai menjadi deras dan keruh hingga menyebabkan penduduk kampung di sini kekurangan bekalan air asli. Kesan pembalakan yang lalu juga telah banyak merosakkan kawasan tanaman, pertanian, dan jalan-jalan dan tiada ganti rugi dibayar.

- Kesan-kesan pembalakan pada tahun 1960-an, telah menyebabkan belakunya kewujudan curam-curam sedalam 300 kaki di kawasan ini. Sekiranya pembalakan diteruskan akan wujudlah curam-curam baharu yang membahayakan.

4. Perubahan iklim

- Kekayaan sumber alam semula jadi yang hijau menyebabkan cuaca di Pengkalan Hulu berasa dingin saban tahun dengan cuaca panasnya yang sederhana.

- Apabila aktiviti pembalakan berlaku di sini, telah menyebabkan perubahan cuaca atau iklim berubah dengan ketara sehingga menyebabkan penduduk kampung di sini berasa kurang selesa. Cuaca yang sejuk di Pengkalan Hulu sebelum ini telah bertukar menjadi cuaca panas yang melampau akibat banyak tumbuhan hijau yang menjadi pelindung dan penapis lapisan ozon telah banyak dimusnahkan.

- Kawasan hutan simpan Gunung Lang ini juga merupakan kawasan cadangan yang sesuai dijadikan destinasi pelancongan pada masa hadapan disebabkan suhunya yang rendah. Aktiviti ‘Jungle Trekking’ tidak dapat dijalankan kerana laluan ini akan terhakis menjadi curam dan pokok-pokok hutan yang redup berusia puluhan tahun ditebang.

Kesimpulan

- Demi menjaga pencemaran alam sekitar penduduk kampung Kuak Hulu dan Pengkalan Hulu amnya, hasil perbincangan dengan semua pihak, maka kami dengan ini memohon agar pihak yang bertanggungjawab mengambil tidakan yang drastik untuk menahan atau membatalkan sebarang pengeluaran balak di kawasan hutan simpan Gunung Lang.











































 
Load Counter