RMK 10: JANGAN SEKADAR ATAS KERTAS SEMATA-MATA

Pembentangan untuk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10) untuk lima tahun yang mendatang (pelan ekonomi 2011-2015) akan tiba lagi esoknya apabila ianya dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak di Parlimen.

Apakah yang difahami dengan RMK tersebut? Ia adalah sebuah perancangan pembangunan ekonomi setiap lima tahun untuk negara kita yang mana ianya memerlukan peruntukan bagi pembinaan projek infrastruktur fizikal.

Justeru itu RMK 10 ini hanyalah merupakan satu lanjutan pembangunan negara daripada RMK 9 yang telah pun di bentang dan di laksanakan kira-kira 5 tahun yang lalu.

Untuk rekod negara kita telah melalui sebanyak 9 kali RMK sejak kita mencapai kemerdekaan daripada penjajah British. Bermula dengan Rancangan Malaya dan seterusnya diteruskan dengan Rancangan Malaysia apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Justeru itu setiap RMK yang dibentangkan ini hanyalah kesinambungan daripada setiap RMK yang dijalankan sebelum itu. Umum mengetahui, sejak RMK 1 lagi, rancangan pembangunan yang bersifatkan pembangunan fizikal lebih menjadi tumpuan berbanding sebaliknya.

Dengan pertambahan penduduk negara ini, amatlah tidak menghairankan kita sekiranya pembangunan bersifat infrastruktur dijadikan sebagai agenda utama didalam setiap RMK yang dilancarkan. Perkara ini tidak dapat kita elakkan dan terbukti didalam Rancangan Malaysia Ke 9 yang akan berakhir pada tahun ini telah diperuntukkan sebanyak 78% daripada jumlah peruntukan keseluruhannya sebanyak RM230 Bilion berbanding hanya 22% sahaja untuk program bukan fizikal.

Amatlah diharapkan sempena pembentangan RMK 10 esok di Parlimen, sesuatu yang lebih baik daripada RMK 9 akan di perolehi. Paling penting ialah setiap RMK yang dibentang serta di rancangkan itu akan mendapat manfaatnya terutama kepada masyarakat bawahan.

Tiada guna pemimpin negara mengumumkan peruntukan ‘berbilion-bilion’ Ringgit setiap kali RMK baru dibentangkan tetapi gagal untuk diterjemahkan serta sampai ke bawah terutamanya kepada golongan miskin luar bandar.

Usah memandang jauh, lihat sahaja di Sabah dan Sarawak bagaimana sistem hubungan jalan raya, telekomunikasi, bekalan air dan elektrik yang berterusan gagal untuk mencapai matlamatnya oleh kerajaan yang memerintah walaupun sudah beberapa kali RMK yang baru setiap lima tahun di bentang dan di umumkan?

Kita amat maklum semua itu. Apakah kegagalan untuk menunaikan setiap perancangan ini kerana wujudnya unsur-unsur ketirisan pada projek tersebut? Ini persoalan yang harus dijawab, bukan sekarang tetapi dulu lagi.

Bagi kita tiada gunanya untuk kita berbangga dengan kepesatan yang berlaku dibandar-bandar besar seperti di Lembah Kelang, Johor Bahru atau Pulau Pinang tetapi didalam masa yang sama masyarakat pendalaman masih tidak merasai ‘kenikmatan’ elektrik, air, telefon, jalanraya apatah lagi untuk kita bercerita tentang ‘internet’, ‘facebook’, ‘twitter’ dan sebagainya? Sama-samalah kita memikirkannnya….

Sumber: http://ingeniur.blogspot.com/

 
Load Counter