Meskipun kalah kepada Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu, namun Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong, pengundi dan petugas yang membantu Pakatan Rakyat.
Ujar Anwar, parti rakan dalam Pakatan Rakyat banyak membantu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor, dan kerjasama yang erat ini semakin utuh.
Apa yang dapat disaksikan dari kempen di Hulu Selangor sebenarnya Pakatan Rakyat komited untuk memperjuangkan hak rakyat, kebebasan, keadilan dan kejayaan kepada rakyat, tidak seperti Umno-BN yang hanya menabur janji kosong, katanya.
Kemenangan BN kata Anwar, dicemari dengan taktik kotor yang sejak dahulu diamalkan mereka bagi mencapai kemenangan walaupun terpaksa melanggari prinsip demokrasi.
Mana tidaknya, lebih RM100 juta ditabur di Hulu Selangor dan seluruh menteri dan jabatan kerajaan digunakan untuk kempen di sana, katanya,
Malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri tidak memainkan peranan yang telah diamanahkan secara jujur telus dan saksama dalam pilihan raya kecil tersebut, katanya.
Selain itu pihak berkuasa turut menekan dan bertindak ke atas penyokong Pakatan Rakyat sehinggakan ada kalangan pengundi bimbang dengan situasi tersebut di tempat mengundi, katanya.
Tindakan Umno-BN menggunakan jentera kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan kemenangan sebenarnya hanya memburukkan lagi persepsi masyarakat kepada kerajaan, kata Anwar.
Mereka (Umno-BN) tidak serik dan tidak belajar melalui pilihan raya umum ke-12 yang lalu, dan pastinya rakyat akan sentiasa ingat akan kebobrokan ini pada pilihan raya umum akan datang untuk mengubah kerajaan yang ada, ujar Anwar tekad.
Sumber: http://mohdrashidi.blogspot.com/
Browse » Laman Utama
Terima kasih kepada semua penyokong Pakatan Rakyat
PAS Gerik, Tuesday, April 27, 2010
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
|