Bangunan SUK untuk ADUN BN

IPOH, 9 Ogos : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar bersama lima ADUN Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi dihalang untuk memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Sivakumar berkata, hari ini (kelmarin) merupakan kali ketujuh mereka dihalang untuk memasuki bangunan SUK dan berasa amat kecewa dengan tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata, sama ada Setiausaha Kerajaan Negeri mahu mengiktiraf atau tidak jawatankuasa itu terpulang tetapi sebagai wakil rakyat dia mengakui berhak untuk masuk ke bangunan SUK bagi mengadakan mesyuarat.

“Tindakan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan memalukan apabila terus-menerus Setiausaha Kerajaan Negeri bersikap demikian.

“Seolah-olah perlembagaan yang diperuntukkan tidak memberikan apa-apa impak kepada beliau dan mungkin juga sebab beliau adalah orang kerajaan, jadi undang-undang di dalam genggamannya,” katanya semasa sidang media di luar bangunan SUK.

Sivakumar berkata, jawatankuasa ini sepatutnya memanggil ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai pencadang usul; ADUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman, penyokong usul dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim kerana mencampuri urusan perundangan.

Menurutnya, disebabkan campur tangan bidang eksekutif dan perundangan maka jawatankuasa ini tidak dapat meneruskan agenda memanggil ketiga-tiga individu berkenaan serta hanya mendengar keterangan daripada tiga saksi terlibat iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam; ADUN Menglembu, Lim Pek Har dan ADUN Pokok Assam, Yee Seu Kai.

“Sehingga kini, hanya tiga saksi berkenaan dipanggil dan kalau kita perlukan lagi, saksi lain akan dipanggil bagi melengkapkan laporan untuk tindakan selanjutnya.

“Segala keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan diumumkan pada Isnin ini serta bagi saya segala keputusan dibuat adalah sah kerana jawatankuasa berkenaan masih relevan,” katanya.

Beliau berkata, perkara pertama yang akan memulakan persidangan dewan adalah dengan titah ucapan Sultan sebagai perasmian pembukaan, kemudian diikuti perkara-perkara lain serta akhir barulah usul dikemukakan. Kata beliau, agenda pada hari berkenaan telah dilanggar sebagaimana terkandung dalam agenda.

“Kita tak boleh ambil ringan tentang perkara ini dan jika kita lihat dalam Perintah-perintah Tetap Undang-undang Tubuh Negeri, Perkara 13 menjelaskan susun atur dan tertib untuk mengendalikan persidangan.

“Dalam perkara 13 itu menyatakan urusan persidangan dewan adalah yang pertama sekali mestilah titah ucapan Sultan, perkara-perkara lain diikuti dan usul sepatutnya terakhir, tetapi semua yang berlaku adalah bertentangan dengan perintah berkenaan serta sebab itulah saya katakan persidangan hari itu tidak sah,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/

 
Load Counter