MANEK URAI 'UNIVERSITI POLITIK' PAKATAN RAKYAT

Kejayaan Pas mengekalkan Dun Manek Urai harus diraikan dengan penuh rasa kesyukuran walaupun kali ini Pas menang dengan majorti yang tipis. Pilihanraya kecil dan pilihanraya umum sesuatu yang berbeza. Aliran corak pemikiran pengundi boleh berubah dengan tiba-tiba terutama kepada penduduk atau pengundi di Kelantan. Cara dan corak pemikiran politik mereka berbeza berbanding dengan penduduk lain di negara ini.

Mungkin kali ini dalam pilihanraya kecil Manek Urai mereka sebelum ini terutama golongan atas pagar atau pengundi luar merasa 'tak apa' kalau pangkah Umno@BN kerana undi tersebut tidak akan menjejaskan kerajaan Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.Andaian mereka,kerajaan Tok Guru masih utuh dan stabil jika satu kerusi terlepas kepada umno@BN. Mungkin juga ada benarnya, aliran pengundi kali ini ingin menyampaikan sesuatu mesej yang saya rasa tidak sukar untuk difahami khususnya oleh pimpinan Pas khasnya dan pimpinan Pakatan Rakyat amnya.

Berbeza dalam Pilihanraya Umum yang lalu, golongan muda khususnya yang menetap di luar Kelantan balik umpama pesta untuk mempertahankan kerajaan Pas pimpinan Tok Guru dari dirampas oleh Umno@BN. Mereka berpusu-pusu dan berbondong-bondong dengan kesesakan yang luar biasa sepanjang perjalanan serta ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyelamatkan kerajaan Pas di Kelantan.

Kepada pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat di semua peringkat saya berharap agar tidak menunding jari kepada Umno@BN yang menipu, membeli undi, politik ugut dan sebagainya. Ini kerana itu sudah memang cara dan gaya Umno@BN berpolitik. Apa yang penting semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat perlu membuat post mortem terperinci berhubung dengan kemenangan tipis ini. Saya tidak melihat isu 'perselisihan' yang sengaja direka oleh pihak Umno@BN di antara Tuan Guru dan Ustaz Nasharudin menjadi faktor utama kemenangan tipis ini. Tetapi saya melihat pengundi Melayu di Manek Urai kurang senang dengan gelagat rakan Pas dalam pakatan khususnya DAP seperti yang berlaku di Kedah.

Pengundi Melayu terutama golongan atas pagar atau tidak berparti yang sebelumnya menyokong Pas dalam pilihanraya umum lalu mengalami konflik dan dilemma apabila isu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Ini merupakan pengajaran yang sangat penting kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat khususnya hal yang sensitif. Mereka perlu mengeratkan muafakat dan kerjasama untuk memastikan matlamat menumbangkan kerajaan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang benar-benar menjadi kenyataan. Hentikan segala polemik dan perdebatan secara terbuka sebaliknya setiap isu yang wujud perlu ditangani melalui rundingan dan semangat setiakawan.

Apa yang lebih penting segala ilmu dan pengalaman sepanjang pilihanraya kecil Manek Urai perlu dijadikan muhasabah dan renungan dengan menjadikan ia sebagai 'universiti politik' untuk rujukan pada masa akan datang.

Sumber: http://angkasanuri.blogspot.com/

 
Load Counter