Pilihan Raya Kecil Dun Penanti tenang tanpa lembaga dan hantu BN! - Jelas NIEI

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti disifatkan paling aman dalam tempoh 14 bulan selepas Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu. Institut Ketelusan Pilihanraya (NIEI) yang memantau Pilihan Raya Kecil Dun Penanti melaporkan suasana itu berbeza dengan lima pilihan raya kecil sebelum ini dimana Barisan Nasional (BN) turut bertanding.
Pengarah Esekutifnya, Amin Iskandar dalam satu kenyataan media menegaskan proses penamaan calon berjalan lancar dan aman tanpa kehadiran calon dan penyokong-penyokong BN.

"Hasil pemantauan kami ketika kempen piliha raya dan pada hari mengundi mendapati bahawa keadaan tidak seperti mana-mana pilihan raya sebelum ini dimana suasananya tegang. Ketiadaan jentera Barisan Nasional turut dirasai oleh kebanyakkan penduduk awam," tegas Amin.

Namun begitu tegas beliau, kehadiran pihak polis yang ramai pada hari mengundi masih lagi tidak berubah berbanding dengan pilihan raya kecil lalu.

Pemantauan NIEI pada semua pusat pengundian mendapati pihak polis turut mengarahkan Unit Tindakan Ringan yang lengkap dengan kelengkapan anti-rusuhan ditempatkan di setiap pintu masuk pusat pengundian.

Katanya, kehadiran unit ini di setiap pusat pengundian telah menimbulkan persoalan seperti apakah tujuannya? Turut dipantau ialah beberapa anggota polis dilihat berjalan di dalam kawasan pembuangan undi.

"Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin, Berapit, NIEI telah dimaklumkan mengenai lapan orang pengundi yang kehilangan nama mereka dari daftar pengundi di Penanti.

"Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang berada di pusat pembuangan undi di situ, memberi maklum balas bahawa pengundi seharusnya menyemak daftar pemilih masing-masing sebelum membuang undi," jelas Amin lagi.

Ini membuktikan bahawa SPR masih belum bersedia untuk segala kemungkinan walaupun telah berjanji untuk menangani segala masalah menurut lunas undang-undang.

NIEI juga berpendapat pengurangan peratusan undian adalah berikutan ketiadaan parti BN seperti pilihanraya di Permatang Pauh (P.44), Kuala Terengganu (P.36), Bukit Gantang (P.59), Bukit Selambau (N.25) dan di Batang Ai (N.23) dimana lebih daripada 80% keluar mengundi.

Walau bagaimanapun, NIEI menyokong pengharaman pembinaan pondok-pondok panas oleh parti-parti yang bertanding di kawasan pembuangan undi. NIEI juga menggesa parti politik yang bertanding supaya tidak menghantar dan menurunkan penumpang di pusat pengundian.

NIEI juga mencadangkan agar SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal (Indelible Ink) untuk semua piliha raya yang akan datang bagi mempertingkatkan mutu pilihan raya negara dan demi memastikan kredibiliti proses pembuangan undi adalah berlandaskan nilai-nilai yang selaras dengan piawaian antarabangsa.

Pada pilihan raya kecil itu, calon KeADILan, Mansor Othman memenangi pilihan raya Dun Penanti dengan memperolehi 6,052 undi. Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi. Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Kesemua mereka hilang wang deposit RM5,000.

Proses pengiraan undi selesai pada kira-kira jam 7.20 malam. Undi untuk Aminah kebanyakannya datang dari kawasan majoriti Melayu, termasuk Mengkuang, Kuala Mengkuang dan Guar Perahu.

Aminah juga mendapat undi pos terbanyak, iaitu 12 undi berbanding dengan Kamarul (7), Mansor (2) dan Nai (0). Nai pula banyak mendapat undi dari dua kawasan, iaitu Teluk Wang - yang merupakan kawasan masyarakat Thai - dan dari Sungai Lembu, iaitu kubu kuat Gerakan.

Di Sungai Lembu, Mansor mendapat 258 undi manakala Nai mendapat 102 undi, Aminah (2) dan Kamarul (2). Manakala di Teluk Wang pula, Nai mendapat 154 undi, Mansor (180), Aminah (21) dan Kamarul (1).

Sumber: http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter