Mampukah strategi Tok Pa di Jeli diaplikasi BN di lapangan Dun Manek Urai?

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar dari kita masih ingat lirik sebuah lagu nyanyian Seninam Negara Tan Sri P. Ramlee berjudul ‘Apabila Mama Pakai Celana’ yang menyebabkan Papa naik bingung kerana sesuatu yang pelik telah berlaku dalam sebuah rumah tangga. Lirik lagu nyanyian P. Ramlee ini mempunyai persamaan dengan strategi politik yang digunakan oleh Umno untuk menawan Dun Manek Urai pada 14 Julai 2009 nanti.

Sebagamana Papa naik bingung apabila Mama pakai celana (seluar panjang), begitu juga dengan pengundi Manek Urai turut naik bingung apabila ada Pak Menteri yang sanggup menjadi rakyat biasa, tidur di rumah orang kampung, sembahyang bersama di surau-surau dan ada yang menoreh getah.

Pendekatan ini adalah terhasil dari pendekatan yang digunakan oleh Dato’ Mustapha Mohamad (atau panggilan manjanya Tok Pa) dan dengan menggunakan pendekatan ini Tok Pa dikatakan dapat bertahan begitu lama di Parlimen Jeli.

Beliau hanya kalah kepada calon PAS pada pilihan raya umum 1999. Apa yang perlu difahami ialah sungguhpun rakyat (pengundi) Kelantan secara luarannya nampak sederhana, namum mereka memiliki kebijaksanaan politik yang tinggi. Hujah-hujah politik yang dikemukakan oleh seorang pengundi biasa Kelantan di kedai-kedai kopi, besar kemungkinan dapat mengalahkan hujah-hujah seorang Professor Sains Politik yang berada di menara gading.

Mereka ketawa sinis terhadap gelagak Pak Menteri yang ingin jadi orang kampung untuk tujuan pilihan raya. Mereka sedar bahawa ini adalah sebuah lakonan politik; dan ini mempunyai backlash politiknya yang tersendiri yang merugikan Umno.

Perlu juga difahami hakikat bahawa kekuatan pendekatan orang kampung yang digunakan oleh Tok Pa bukanlah merupakan faktor kritikal yang memenangkan beliau tetapi yang memenangkan beliau ialah wujudnya beberapa kem tentera dalam parlimen Jeli yang memberi advantage kepada Tok Pa.

Dianggarkan undi pos dikalangan tentera adalah sekitar 3 ribu orang. Kehebatan sebenar Tok Pa boleh diukur apabila beliau menang parlimen Jeli tanpa sokongan pengundi pos. Berdasarkan data pilihan raya umum 2008, DUN Manek Urai hanya mempunyai 83 undi pos.

Manek Urai: Pasarana Sosio-politik

Manek Urai adalah salah satu dari empat DUN dalam parlimen Kuala Krai. Dalam konteks politik Kelantan ia dikenali sebagai salah satu pengkalan atau ‘lubuk’ PAS. Satu lagi pengkalan PAS yang selalu disebut-sebut ialah parlimen Pengkalan Chepa berhampiran Bandar Kota Bharu.

Untuk satu jangka masa yang agak lama parlimen Pengkalan Chepa adalah sinonim dengan nama Tuan Guru Nik Abd. Aziz, Menteri Besar Kelantan. Manek Urai pernah melalui 10 kali pilihan raya umum dan hanya kalah dua kali. Sekiranya tiga pilihan raya umum terakhir diambil kira, prestasi PAS di Dun Manek Urai masih mantap.

Pada pilihan raya umum 1999, disebabkan faktor Anwar dan perpecahan Umno, PAS menang besar di DUN Manek Urai. Pada pilihan raya umum 2004 disebabkan faktor-faktor seperti Pak Lah sebagai Perdana Menteri baru dengan imej ‘Mr.Clean’ dan mempunyai latarbelakang agama, pimpinan baru Umno Kuala Krai dan calon baru yang dikemukakan oleh PAS maka natijahnya PAS mengalami kekalahan tipis iaitu sekitar 53 undi.

PAS merampas kembali Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 2008 dengan kemenangan yang agak selesa. Antara faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan PAS ialah calon lama iaitu Allahyarham Hj Ismail Yaacob bertanding semula, janji-janji Umno yang tidak dikotakan dan kempen melampau Umno. Berdasarkan huraian di atas, sekiranya PAS meletakkan calon tempatan yang mesra rakyat, maka peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil pada 14 Julai nanti amatlah cerah.

Dari segi kependudukan, terdapat seramai 31,000 orang yang mendiami DUN Manek Urai dan 99.2% adalah terdiri dari orang Melayu. Secara bandingan, terdapat hanya 60 pengundi Cina. Dari segi aktiviti ekonomi ia melibatkan sektor pertanian dan penduduk terlibat dengan penanaman kelapa sawit, getah dan buah-buahan.

Terdapat juga aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan perhutanan seperti pembalakan dan kilang-kilang papan. Sebahagian besar dari pengundi adalah peneroka skim pembangunan tanah yang diusahakan oleh Kerajaan Kelantan pimpinan PAS semasa Dato’ Asri menjadi Menteri Besar.

Rancangan pembangunan tanah yang diusahakan oleh Kerajaan Kelantan ini adalah antara rancangan-rancangan tanah yang boleh dianggap berjaya, setanding dengan skim-skim pembangunan tanah tajaan FELDA. Rancangan pembangunan tanah yang diusahakan oleh kerajaan negeri ini begitu berjaya dan dari segi budaya politiknya ia diidentifikasi secara dekat dengan PAS. Hakikat ini dapat dilihat apabila sebuah sungai dalam rancangan tanah ini diberi nama Sungai Pas.

Terkini pengurusan tanah rancangan dalam DUN Manek Urai diambil alih oleh agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti KESEDAR, FELCRA dan RISDA. Peranan agensi-agensi Kerajaan Pusat ini hanyalah untuk membekalkan kemudahan awam seperti jalan-jalan kampung dan dewan-dewan orang ramai.

Atas perkiraan populariti Umno/BN amatlah rendah pada masa kini, adalah dijangkakan bahawa Umno akan menggunakan agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti KESEDAR dan RISDA untuk tujuan politik mereka. Adalah difahamkan bahawa RISDA telah bergerak memainkan peranannya dengan mengedar duit one-off atau bantuan bulanan sebanyak RM250 bagi setiap keluarga.

Besar kemungkinan keluarga-keluarga yang menerima bantuan ini adalah penyokong-penyokong tegar Umno. Harga kelapa sawit dan getah yang melambung tinggi, sungguhpun sekarang agak menurun sedikit, menjadikan duit one-off atau bantuan bulanan oleh RISDA tidak mempunyai saham politik yang tinggi.

Seorang pengundi di Manek Urai Lama memberi tahu saya bahawa dia mampu menjual seekor kambing biri-birinya dengan harga RM500. Beliau memiliki seramai 30 ekor kambing biri-biri. Ini bermakna autonomi ekonomi agak terserlah di DUN Manek Urai.

Mengikut salah satu sumber yang saya diperolehi, Dato’ Annuar Musa, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, memberi tahu salah seorang pengundi di DUN Manek Urai bahawa adalah agak mustahil bagi Umno memenangi pilihan raya kecil ini.

Satu cara sahaja sekiranya Umno ingin berjaya iaitu dengan merampas semua kad pengenalan milik penyokong-penyokong PAS. Mengikut Dato’ Annuar Musa, kaedah ini mempunyai risiko yang tinggi kerana pihak keselamatan PAS juga mempunyai mereka yang pakar dalam bidang undang-undang pilihan raya. Mengikut Dato’ Annuar Musa lagi, terkini individu-individu terbaik lebih berminat untuk bersama PAS berbanding Umno.

Secara yang lebih mikro, data terkini memperlihatkan DUN Manek Urai terdiri dari sembilan Daerah Mengundi (DM) atau dari sudut operasi parti politik ia dikenali sebagai Unit Peti Undi (UPU).

Daerah- daerah Mengundi ini terdiri dari Temalir, Sungai Perial, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh. Daripada Sembilan UPU ini hanya tiga darinya yang boleh dikategori sebagai kurang memihak kepada PAS. UPU-UPU yang dimaksudkan ialah Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Manjor.

Sungguhpun UPU-UPU ini dianggap lemah, namun sekiranya peratusan sokongan pengundi 50% ke atas telah dianggap menang dalam pilihan raya, maka hanya satu UPU sahaja yang betul-betul lemah iaitu Manjor di mana sokongan kepada PAS pada pilihan raya umum ke 12 yang lalu adalah sebanyak 48.22%.

Sokongan yang kuat kepada PAS ini diperkukuhkan lagi dengan laporan tidak resmi oleh Cawangan-cawangan Khas (SB) yang turut membuat risikan di DUN Manek Urai.

Laporan tidak resmi ini menyebut bahawa hanya 5% daripada pengundi Manek Urai yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS. Maka fahamlah kenapa program-program anjuran Pak-Pak Menteri Umno yang berketayap dan berkain pelikat bersama rakyat tempatan tidak mendapat sambutan.

Kekuatan satu-satu parti dalam pilihan raya amat bergantung kepada jentera pilihan rayanya. Terkini isu yang dimainkan oleh media arus perdana milik Umno/BN ialah betapa kurangnya tenaga kerja pilihan raya dari PAS Pusat. Ini harus difahami dari hakikat bahawa pilihan raya di Kelantan berbeza dengan pilihan raya di luar Kelantan. Kelantan negeri yang sinonim dengan PAS sudah semestinya mempunyai jentera pilihan raya yang kuat.

Jentera pilihan raya PAS Kelantan adalah sifu kepada jentera-jentera pilihan raya di luar Kelantan. Atas dasar inilah sumbangan tenaga dari luar Kelantan dilihat sebagai sesuatu yang tidak begitu terdesak.

Kesimpulan: Manek-manek yang Terlerai

Pilihan raya kecil Manek Urai merupakan pilihan raya kecil yang ke 7 yang diadakan selepas pilihan raya umum ke 12 yang di adakan pada 8 Mac 2008. Dalam sejarah politik Malaysia, inilah jangka masa yang paling kerap berlakunya pilihan raya kecil.

Pada enam pilihan raya kecil yang lepas, lima darinya di menangi oleh Pakatan Rakyat, kesemuanya di Semenanjung. Hanya satu pilihan raya kecil yang dimenangi oleh Umno/BN iaitu di Batang Ai di Sarawak.

Berdasarkan kepada pencapaian yang memberangsangkan ini, maka tidak ada sebab kenapa PAS tidak boleh memenangi pilihan raya kecil Manek Urai yang akan diadakan. Mungkin terselit hikmah dari Allah di sebalik kekerapan pilihan raya kecil yang diadakan. Mungkin ini merupakan latihan politik bagi PAS dan Pakatan Rakyat, membiasakan diri dengan selok belok politik bagi mempersiapkan diri sebagai pimpinan negara selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke 13 nanti.

Dalam hal ini, perjumpaan Menteri Mentor Singapura dengan Presiden PAS dan lawatan beliau ke Kelantan baru-baru ini mempunyai kesignifikanannya yang tersendiri. Kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya kecil, satu demi satu, boleh diumpamakan sebagai manek-manek yang terlerai dari kalungannya; dan pilihan raya kecil Manek Urai akan merupakan paku terakhir untuk keranda Umno/BN.

Oleh HAJI WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Sumber: http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter