Anak Bapa teringat kepada arwah Saddam Hussein, mantan Presiden Iraq ketika berhadapan dengan serangan daripada Amerika tidak lama dulu telah mengisytiharkan “the mother of all battles” yakni “ibu kepada segala peperangan” terhadap peperangan yang bakal dihadapinya. Mungkin pada firasatnya ia merupakan peperangan yang mega besar dan yang akan menentukan hidup mati dirinya sendiri dan negara Iraq. Dan sememangnya telahan mantan Presiden berkenaan hampir tepat dan beliau akhirnya benar-benar terkorban.
Sementara itu lagi 2 hari, para perwakilan PAS juga berkemungkinan akan menghadapi “the mother of all elections” yakni “ibu kepada segala pemilihan” apabila mereka terpaksa memilih barisan kepimpinan tertinggi PAS yang baru di dalam suasana politik negara yang amat mencabar. Mungkinkah ini akan tercatat di dalam sejarah sebagai “ibu kepada segala pemilihan” bagi PAS? Bunyinya agak dramatik dan mendebarkan tetapi hakikatnya kelihatan begitu. Berdasarkan kepada kokokan para bloggers dan media perdana, Anak Bapa dapat rasakan arus bawah (undercurrent) yang kuat dan deras sedang memukul kematangan berfikir ahli dan para perwakilan parti. Apa sebenarnya isu yang membuatkan pemilihan ini begitu bermakna dan sengit sekali? Betulkah kerana ada individu tertentu yang begitu bernafsu besar nak jadi pemimpin? Mungkinkah sebab PAS yang dah jadi parti arus perdana dan kini berstatus “pemerintah” menyebabkan ramai yang dah mula celik mata dan nampak jawatan tinggi-tinggi? Andaian-andaian ini perlukan analisa yang tepat, tumpuan kepada punca sebenar pertarungan dan bukan gejala-gejala sampingan yang sengajakan ditimbulkan untuk mengalih perhatian kepada punca sebenar.
Pertembungan ini bukanlah kerana isu konflik antara golongan Ulama dan Profesional sebagaimana yang digembar-gemburkan ramai sebab ada golongan ulama (Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, Ustaz Azizan Abd Razak dan sebagainya) yang menyokong Husam dan ada golongan professional (Dr. Hasan Mohd Ali, Mustaffa Ali dan sebagainya) yang menyokong Nasha. Ia juga bukan kerana isu politik wang di kalangan kepimpinan walaupun pada satu peringkat Ketua Dewan Ulama sendiri yang membuat dakwaan tersebut (kemudian mengakui bahawa beliau hanya mendengar daripada mulut orang lain). Ia juga bukan kerana ada golongan dalam PAS yang nak menjadikan Anwar Ibrahim sebagai idola dan tempat menyerahkan walak mereka (walaupun Dr. Harun Din sendiri pernah mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai ketua kepada gabungan PAS-PKR tanpa perbincangan Majlis Syura – lihat Siasah keluaran 28 Okt 2005). Ia juga bukan kerana tahap walak (kesetiaan) ahli dan pemimpin tertentu telah menurun (walaupun antara pemimpin yang dimaksudkan telah 30 tahun berjuang di dalam PAS dan ada yang dah beberapa kali merengkuk di bawah ISA).
Semua cerita di atas adalah diistilahkan sebagai “red herring” yakni isu yang yang sengaja ditimbulkan bertujuan untuk mengalih perhatian orang ramai terhadap isu sebenar. Golongan yang melakukan ini semua amat bimbang jikalau isu atau punca sebenar diketahui ramai akan menyebabkan kepayahan yang amat sangat kepada agenda mereka. Saudara YB Khalid Abd Samad telah menghuraikan dengan amat tepat dan terperinci punca sebenar pertarungan sengit pemilihan kepimpinan tertinggi PAS kali ini. Anak Bapa merasakan tak perlu diulangi ulasan beliau. Cukup dengan anda semua membaca sendiri tulisan beliau “Asas Pemilihan”. Cuma apa yang Anak Bapa nak sebut di sini ialah kita kini berada pada satu persimpangan ke Putrajaya. Simpangnya banyak tetapi 2 saja yang praktikal yang boleh kita pertimbangkan. Satu dengan bersama UMNO dan lagi satu bersama Pakatan Rakyat (bersendirian tu boleh tetapi tidak praktikal kecuali nak kekal jadi pembangkang untuk sekian lama).
Jika kita pilih untuk bergabung (atau apa saja hubungan) dengan UMNO, kita insyAllah boleh sampai ke Putrajaya dan mungkin ada beberapa orang pimpinan kita akan menjadi menteri. Kita akan bersama UMNO/BN memerintah negara dan beberapa negeri. Satu yang pasti, kita akan kehilangan sabahagian besar penyokong bukan Melayu (malah juga penyokong Melayu) yang tak kan berjaya kita kutip kembali kemudian di dalam pendekatan ini dan akan berterusan bergantung (yakni jadi pecacai UMNO) untuk sekian lama disebabkan kita tiada kekuatan langsung jika kita meninggalkan BN. Satu lagi kemungkinan besar yang akan berlaku ialah penghijrahan beramai-ramai ahli kita keluar daripada PAS lantas melumpuhkan terus parti tersayang.
Bagi pendekatan kedua pula yakni terus bersama Pakatan Rakyat (seperti yang diputuskan dalam muktamar tahun lepas) kita mungkin akan menghadapi kepayahan di dalam beberapa perkara dasar apabila berbincang dengan DAP dan PKR (dengan UMNO pun belum tentu senang) tetapi persahabatan ini akan berterusan kerana masing-masing amat perlu memerlukan antara satu sama lain. Kemungkinan sampai ke Putrajaya pun agak lambat. Tetapi satu perkara yang pasti ialah kita tidak akan kehilangan sokongan bukan Melayu malah mungkin akan bertambah lagi dengan syarat kita terus bekerja dengan rajin dan ikhlas. Parti kita akan bertambah mantap kerana tiada yang akan meninggalkan parti kecuali dua tiga kerat yang perangai macam Nakhaie yang hadap sangat nak peluk cium UMNO. Fikir-fikirkan mana pilihan yang terbaik ……..
Anak Bapa: Dah nampak jelas lama dah sapa pemimpin yang kelas dan berwibawa untuk jamaah …….
Sumber: http://anakbapa.blogspot.com/
Browse » Laman Utama
Ibu Kepada Segala Pemilihan
PAS Gerik, Wednesday, June 3, 2009
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
Buka Semua
Tutup Semua


|