Gambar Kenangan Dato' Mohd.Asri bersama Prof.Hamka (bersongkok)
Untuk posting kali ini, saya kemukakan jawaban oleh Yang diPertua Agung PAS merangkap bekas Menteri Besar Kelantan dalam usaha beliau menangkis serangan propaganda jahat UMNO terhadap PAS. Sejak tahun 1964 lagi isu ini dicanang oleh UMNO bagi menjatuhkan kerajaan PAS tetapi tidak berjaya kerana rakyat tidak mempercayai dan tidak termakan fitnah ini. Namun selepas Dato’Muhammad Nasir yang pernah diberikan undi tidak percaya oleh seramai 20 orang ADUN PAS pada 15hb.Oktober 1977 dalam Sidang DUN Kelantan kerana tidak patuh kepada arahan parti untuk meletakkan jawatan Menteri Besar yang disandang, beliau kembali menyemarakkan semula fitnah ini dan menyebabkan rakyat termakan dan percaya dengan dakwaan beliau yang dianggap sebagai Dato’ Jujur. Akibatnya, PAS tewas dengan teruk sekali setelah parti yang ditubuh oleh Dato’ Muhammad Nasir (BERJASA) berganding tenaga dengan Barisan Nasional untuk merampas kembali negeri Kelantan melalui pilhanraya umum DUN Kelantan pada 11hb.Mac 1978.
Berkaitan tuduhan PAS gadai tanah itu, Dato’ Mohd.Asri bin Haji Muda membuat ulasan sebagaimana berikut;
“Menjelang pilihanraya 1964, politik Malaysia telah dihebohkan dengan cerita kononnya Kerajaan PAS Kelantan menggadai tanah hutan negeri seluas 350 ribu ekar kepada sebuah syarikat Singapura yang bernama Timber & Mine Industry Corporation dan tidak mengenakan bayaran walau satu sen pun dan kononnya Kerajaan Kelantan tidak memperoleh cukai dalam masa penggadaian itu. Cerita ini disebar kepada umum melalui berbagai-bagai cara termasuk mengguna kapal terbang sewaan khas untuk menabur surat-surat sebaran dengan berbagai-bagai jodol seperti “Rahsia PAS bocor” “Pengkhianatan PAS kepada orang-orang Kelantan” dan “Harapkan pagar, pagar makan padi”[1].
“Pastilah fitnah seperti itu terpaksa dilayan kerana sebaran yang meluas seumpama itu jika tidak diberikan jawaban yang betul dan tepat boleh menimbulkan kesan balas yang negatif. Syukurlah fitnah yang berat dan sebarannya yang begitu meluas itu akhirnya dapat diatasi. Penjelasan Kerajaan Kelantan dapat diterima baik oleh rakyat. Lantaran ini, dalam pilihanraya umum 1964 PAS masih mendapat kejayaan yang membanggakan”.
“Masalah besar yang dihadapi oleh Kerajaan PAS Kelantan pada masa itu ialah; apakah ikhtiar yang boleh dilakukan bagi mendapatkan wang bagi membiayai projek-projek yang hendak dilaksanakan seperti pembinaan sebuah jambatan di Kota Bharu yang boleh menggabungkan dua kawasan yang dipisahkan oleh Sungai Kelantan, pembinaan Stadium Sultan Muhammad IV, projek membahagikan tanah pertanian untuk rakyat, pengemaskinian gaji serta kedudukan guru-guru agama, muballigh, pembesaran Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan cadangan menghantar pelajar-pelajar lepasan Nilam Puri menyambung pelajaran ke luar negeri”.
“Kerajaan Negeri Kelantan telah menangkis tuduhan tersebut dengan memberi penerangan yang jelas tentang hakikat sebenar berkenaan masalah tersebut. Seperti yang diketahui umum, rancangan pembalakan di seluruh negara belum lagi meluas. Kebetulan pada ketika itu rancangan pembukaan tanah di bawah Kerajaan Pusat dilakukan sedemikian rupa hinggakan kayu-kayan yang bernilai di kawasan pembukaan tanah itu ditebas, ditebang dan dibakar sebelum diserahkan kepada peneroka. Padahal kayu-kayan itu merupakan sumber hasil negeri yang besar. Dengan mengeluarkan terlebih dahulu kayu-kayan dan hasil hutan yang berharga, maka Kerajaan Negeri Kelantan telah menyelamatkan sebahagian besar dari sumber hasil negerinya”.
“Perjanjian antara Kerajaan Kelantan dengan syarikat Timber & Mine itu pada prinsipnya telah menonjolkan satu dasar yang begitu praktikal yang akhirnya secara tidak langsung menjadi suatu kaedah menyeluruh di kawasan projek yang hendak dimajukan di bawah rancangan pembukaan tanah atas nama apa sahaja. Kawasan itu hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan semua kayu-kayan dan hasil hutan yang berharga. Lebih-lebih lagi apabila rancangan pembukaan tanah semakin rancak dan meluas dengan pesatnya dan telah dimasuk kira sebagai salah satu Projek Pembangunan Luar Bandar”.
“Walau bagaimanapun, persetujuan yang terkandung dalam perjanjian itu tidak dapat dilaksanakan sebagaimana semestinya dalam erti kata untuk memenuhi semua syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut. Ada beberapa sebab yang mungkin menjadi halangan termasuk kekurangan infrastruktur. Walaupun demikian Kerajaan Negeri telah mendapat sejumlah besar bayaran “royalty” di samping pembukaan tanah secara besar-besaran dalam kawasan berkenaan di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan.
“Walaubagaimanapun demi untuk mencari keadilan, maka Kerajaan Pusat telah mengemukakan perkara perjanjian tersebut ke muka pengadilan; iaitu dibawa ke Mahkamah Persekutuan dengan suatu tuduhan Kerajaan Negeri Kelantan telah menggadai sejumlah kawasan yang luas kepada sebuah syarikat asing. Langkah yang membawa perkara itu ke mahkamah telah dijadikan bahan propaganda dan disebar dengan luasnya menjelang pilihan raya tahun 1964”.
“Mahkamah Tinggi Persekutuan telah membuat keputusan bahawa perjanjian yang dibuat itu bukanlah satu penggadaian, iaitu tanah tersebut bukan digadai, malah merupakan perjanjian biasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi memajukan rancangan pembukaan tanah. Itulah maka mahkamah telah memberikan pandangan tentang adanya syarat-syarat dalam perjanjian yang membolehkan Kerajaan Negeri membatalkan perjanjian sekiranya pihak syarikat melanggarnya”[2].
“Pada peringkat awal, syarikat tersebut telah mengendalikan perusahaan mereka dengan baik. Akan tetapi menjelang beberapa waktu lamanya, syarikat itu telah menghadapi beberapa masalah apabila melanggar beberapa peruntukan penting dalam perjanjian tersebut. Pihak Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa peringatan agar syarikat tersebut menghormati syarat-syarat perjanjian. Kerajaan Negeri kemudiannya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji perjanjian tersebut dengan tujuan jika perlanggaran syarat oleh syarikat itu termaklum begitu serius, maka kajian itu juga akan mengambil apa jua langkah munasabah untuk membatalkannya”.
“Jawatankuasa tersebut mengadakan perbincangan beberapa kali dan akhirnya telah mencapai persetujuan untuk mengeluarkan notis bagi membatalkan perjanjian tersebut. Kejadian itu berlaku ketika kerajaan masih lagi berada di bawah pimpinan Datuk Haji Ishak Lotfi[3]. Sungguhpun demikian, langkah itu tidak sempat dilaksanakan sehingga pilihanraya 1974 dan Kerajaan Kelantan bertukar pimpinan kepada Datuk Haji Muhammad bin Nasir[4].”
“Usaha untuk menyelesaikan persoalan itu diteruskan semula oleh Kerajaan Negeri di bawah Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Datuk Haji Muhammad bin Nasir. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan berdasarkan laporan oleh jawatankuasa, bahawa Datuk Haji Ishak Lutfi bersetuju membatalkan perjanjian itu serta menarik balik kawasan tersebut tanpa sebarang ganti rugi. Pada masa yang sama Kerajaan Kelantan telah meluluskan kawasan seluas 30,000 ekar daripada kawasan berkenaan untuk diserahkan kepada Felda supaya kawasan itu dapat dimajukan. Langkah ini mendapat sokongan daripada semua pihak baik daripada kalangan ahli PAS mahupun daripada kalangan luar parti.
“Walaubagaimanapun sebelum keputusan kerajaan itu dilaksanakan, Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri telah meminta agar Kerajaan Kelantan mengadakan rundingan untuk membayar sagu hati kepada syarikat tersebut bagi mengelakkan perkara itu berlanjutan di mahkamah. Mengikut apa yang diberitahu bahawa Exco Kerajaan Kelantan pada peringkat awalnya tidak bersetuju berbuat demikian. Akan tetapi demi menjaga hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, maka akhirnya Kerajaan Negeri menerima baik saranan tersebut. Sesudah beberapa kali mengadakan rundingan, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya. Pihak Syarikat Timber & Mine telah bersetuju menerima wang sagu hati atau imbuhan sebanyak 3.5 juta ringgit dan wang tersebut dipinjamkan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Masalah ini boleh dianggap telah selesai tetapi segolongan kecil daripada kalangan yang bertentangan tidak habis-habis menabur fitnah untuk melemahkan Kerajaan Negeri. Namun demikian nampaknya tidak berkesan.”[5]
[1] Memoir Poltik Asri, di bawah tajuk 14.Tuduhan Penyelewengan Kerajaan Negeri, hlm 76-82.
[2] Perkara tersebut terkandung dalam Malayan Law Journal, 1986. vol 2, hlm 129.
[3] Semasa dalam era Kerajaan Campuran PAS dibawah Perikatan tahun 1973-1974.
[4] Kerajaan Barisan Nasional adalah hasil pilihan raya umum tahun 1974 di mana penulis sendiri (Hj.Salahuddin Abdullah)sempat bertugas di bawah pimpinan Dato’ Haji Ishak Lufti sebagai salah seorang ahli Exco sehingga pertengahan 1974 dan di bawah Datuk Haji Muhammad bin Nasir juga sebagai seorang Ahli Exco mulai 1974 hingga awal 1978.
[5] Ulasan Dato` Asri tentang fitnah yang ditaburkan oleh pihak lawan berkaitan isu PAS gadai tanah dan ia disiarkan dalam Malaysian Law Journal 1968. Isu PAS gadai tanah dimainkan oleh Pihak Perikatan dalam pilihanraya tahun 1964 dan masih terus dicanang sepanjang kempen pilihanraya tahun 1969, 1974 dan juga pilihanraya 1978.
Sumber: http://towardsmardhatillah.wordpress.com/
|