Ahmad Said Beri Amaran Akan Pecat ADUN BN Yang Bawa Usul Undi Tidak Percaya




Written by Wartawan Buletin

Kemaman - Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said hari ini memberi amaran akan memecat mana-mana Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang mengatakan terdapat usul undi tidak percaya terhadap beliau akan dikemukakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari bermula Isnin ini.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta ADUN Kijal berkata, mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang menteri besar dalam persidangan dewan adalah satu perkara serius.

“Jika usul itu datang dari pihak pembangkang, kami di dalam kerajaan akan menolaknya. Jika ia dikemukakan oleh wakil BN, dia akan dipecat, itu biasalah.

“Kalau mendapat sokongan, bubar dewan itu sahaja. Kita terpaksa menerimanya kalau dia nak buat..apa nak kata,” katanya ketika ditemui pihak media di sini hari ini.

Ahmad juga berkata beliau tidak tahu menahu tentang khabar angin yang menyatakan Perdana Menteri baru, Dato’ Seri Najib Razak akan menukar beberapa orang Menteri Besar, termasuk bagi negeri Terengganu.

“Itu saya tidak tahulah, Terengganu kena tanya Tuankulah,” katanya. sambil menyelar pihak media yang katanya suka mensensasikan isu.

http://www.buletinonline.net

 
Load Counter